Edisi Terkini! 300 Mahasiswa Himpun Tuntut Mansuh PTPTN - Ikuti Kronologi Demonstrasi Berkenaan!

Oleh Kaki Wayang on


Lebih 300 mahasiswa menyertai demonstrasi di ibu negara petang ini menuntut pemansuhan skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kumpulan mahasiswa itu, sebelum berhimpun di Dataran Merdeka, berkumpul di kawasan Masjid Jamek dan kemudian di pekarangan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman sekitar jam 2.30 petang mendengar ucapan beberapa pemimpin pelajar dan pemimpin PKR termasuk Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, masing-masing Naib Presiden parti itu.



Mereka berhimpun di Dataran Merdeka menuntut respons daripada pihak kerajaan mengenai tuntutan mereka agar skim pinjaman PTPTN dimansuhkan. Perhimpunan itu diketuai Presiden Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Mohd Zaini dan Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohamad Safwan Anang. NGO Gabungan Anak Muda Pantai Timur serta beberapa aktivis mahasiswa lain termasuk Adam Adli Abdul Halim juga hadir sama.

Menurut Adam, tindakan mengalungkan bunga itu sebagai tanda protes kepada pihak kerajaan sekarang yang masih belum mampu menyediakan pendidikan percuma kepada mahasiswa.

"Apa yang boleh dijanjikan oleh pihak kerajaan sekarang ialah jaminan hutang PTPTN puluhan ribu ringgit kepada mahasiswa demi meneruskan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) dan dalam keadaan tiada jaminan pekerjaan oleh pihak kerajaan kepada mahasiswa setelah tamat belajar.

"Kita akan terus berhimpun di hadapan Dataran Merdeka sehingga suara kami ini mendapat perhatian kerajaan dan mereka memberi maklum balas dan bertemu dengan kami," katanya ketika ditemui pemberita pada perhimpunan berkenaan.

Ketika berhimpun di hadapan Sogo, dua pemimpin PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua turut memberikan ucapan. Mahasiswa yang menyertai perarakan itu turut berarak bersama gambar dua pemimpin yang dikalungkan bunga itu.

Kumpulan berkenaan turut melaungkan slogan antaranya "tolak hutang", "pendidikan bukan barang dagangan",  "mansuh PTPTN", "jahanam Umno-BN", "reformasi" dan "revolusi" ketika berarak. Turut kelihatan kain rentang tertera tulisan mansuh PTPTN dan beri pendidikan percuma. Mohamad Safwan berkata, mereka akan terus menuntut pendidikan percuma dan akan berkumpul di Dataran Merdeka dan sekiranya perlu, akan bekumpul di situ sehingga 28 April depan.

"Kita akan tunggu disini, sekiranya tiada halangan akan tunggu sehingga himpunan Bersih pada 28 April depan. Bersih adalah platform menyuarakan pendapat kami dan menukar sistem pemerintahan sedia ada sekiranya mereka masih tidak beri maklum balas kepada tuntutan kami.

"Jawapan bahawa kerajaan menanggung PTPTN sebanyak RM42 bilion adalah tidak tepat. Kami dapat maklumat dari PTPTN sendiri bahawa wang yang disalurkan kepada peminjam adalah RM27 bilion sahaja," katanya.

Mohamad Safwan berkata mereka akan mengadakan demonstrasi di tempat lain sekiranya tiada respons kepada tuntutan mereka.

Kumpulan berkenaan kemudiannya bergerak dan berkumpul semula di Dataran Merdeka jam 3.30 petang. Mereka nekad berkumpul di situ sehingga tuntutan mereka mendapat respons kerajaan.

Kumpulan mahasiswa itu bertindak mengalungkan bunga pada gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di hadapan kompleks membeli-belah Sogo.

Kronologi demonstrasi:

-Bermula jam 2 petang, kira-kira 300 orang berkumpul di Masjid Jamek. Kemudian mereka berarak ke Dataran Merdeka dan kemudian menuju ke Kompleks Sogo. Antara yang berada di barisan hadapan adalah Adam Adli, Safwan Anang dan Syukri Razak.
 
-Di pekarangan Kompleks Sogo, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua menyampaikan ucapan menggunakan pembesar suara, dalam lima minit
 

-Safwan Anang  bersama Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Shahid Zain telah bertindak meletakkan bunga pada gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin. Kalungan bunga beserta replika batu nisan di tepi kedua-dua gambar pemimpin itu, sebagai simbol ‘orang mati’, di hadapan batu nisan itu tertulis perkataaan ‘reformasi’, beserta poster-poster yang menggesa Najib berundur serta disusuli laungan mansuhkan PTPTN.
 
-3.45 petang, kumpulan mahasiswa ini bergerak semula ke Dataran Merdeka, diketuai Safwan Anang. Menurut Adam Adli mereka akan duduk di Dataran Merdeka dan menunggu respons daripada pihak kerajaan untuk memberikan pendidikan percuma. Anggota polis dan trafik DBKL mengawal lalu lintas bagi memastikan keadaan terkawal dan memudahkan pergerakan orang ramai.

-4.30 petang, setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...