Edisi Sukan Hangat! Rexy Mainaky Bercerai!

Oleh Kaki Wayang on


SETELAH hampir tujuh tahun, ‘jodoh’ ketua jurulatih beregu wanita, Rexy Mainaky dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berakhir. Semalam, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai mengesahkan bahawa Rexy telah meletak jawatan sebagai jurulatih badan induk sukan badminton negara itu.

Chin Chai berkata, Rexy telah menyerahkan surat peletakan jawatannya pada pertengahan bulan lalu dan barisan Exco BAM sebulat suara menerima keputusan tersebut. 

“Dengan keputusan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Rexy sepanjang khidmatnya bersama BAM. “Beliau telah melaksanakan tugasnya dengan baik terutama ketika membawa beregu lelaki (Koo Kien Keat-Tan Boon Heong) bergelar pasangan No. 1 dunia sebelum ini.

“Namun, Rexy akan terus melaksanakan tugas sebagai jurulatih sehingga hujung bulan ini. Siapa yang akan menggantikan Rexy hanya akan diputuskan selepas mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM) hujung bulan ini,” kata Chin Chai.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil semalam. Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pengarah Cawangan Atlet MSN, Ariffin Mohd. Ghani, anggota Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj, Kolonel (B) Wong Ah Jit, Pengurus Besar BAM, Kenny Goh dan Rexy sendiri.

Sementara itu, Rexy yang diminta mengulas mengenai keputusan peletakan jawatannya menjelaskan bahawa beliau mahu sesuatu yang baharu dan mencabar bagi meneruskan kariernya sebagai jurulatih. Jelasnya, beliau telah pun menerima tawaran daripada Persatuan Badminton Filipina sebagai Pengarah Kejurulatihan badan induk sukan badminton negara tersebut. 

“Saya ingin tegaskan bahawa keputusan saya ini hanya disebabkan mahu mencari sesuatu yang lebih mencabar dan tidak ada sebab lain. “Dengan Filipina yang hanya memiliki 20 pemain setakat ini, saya diberi tanggungjawab untuk mencari pemain-pemain yang berbakat daripada seluruh pelosok negara tersebut bagi diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Selain itu, saya juga diberi tugas untuk merangka program latihan buat pemain-pemain mereka. Tugas saya bersama Filipina akan bermula pada 1 Mei ini,” jelas Rexy yang turut menerima tawaran untuk membimbing skuad badminton Indonesia, England dan Rusia.

Untuk rekod, Rexy mula bersama BAM pada 7 Julai 2005 sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara. Kejayaan pertama yang dilakar jurulatih kelahiran Indonesia itu bersama skuad negara adalah ketika membawa Kien Keat-Boon Heong memenangi pingat emas pada temasya Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

Setahun kemudian, di bawah sentuhan Rexy juga, Kien Keat-Boon Heong bergelar juara pada Kejohanan Badminton Seluruh England 2007 selain memegang status beregu No. 1 dunia pada 2010. Bagaimanapun, selepas pasangan tersebut bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam saingan tahun lalu, Rexy telah ditukar menjadi ketua jurulatih beregu wanita.

Kini, jurulatih berusia 44 tahun itu telah meletakkan beregu utama wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berada pada landasan yang tepat untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan. Sepanjang kariernya sebagai pemain, Rexy telah merangkul pelbagai kejayaan termasuk pingat emas Sukan Olimpik 1996 di Atlanta dalam acara beregu lelaki bersama gandingannya, Ricky Subagja.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...