Hanya kerana mengejek seorang rakan, seorang pelajar Tingkatan Dua di
sebuah sekolah tahfiz swasta di Alor Gajah, dirotan sebanyak 10 kali
oleh gurunya sehingga berdarah. Kejadian berlaku di sebuah kelas di sekolah berkenaan, kira-kira 7.30
pagi, Khamis lalu, mengakibatkan Amir Azamuddin Abd Rahim, 14, lebam dan
calar balar di bahagian belakang badan, kedua-dua bahu serta betis.
Guru berkenaan yang dipanggil mereka sebagai ustaz menjatuhkan hukuman
di hadapan pelajar lain dengan menggunakan rotan sebesar ibu jari tangan
yang dibalut pita pelekat di hujungnya.
Bapa mangsa, Abd Rahim Abdul Wahid, 37, berkata, anaknya memberitahu,
kejadian berpunca daripada seorang rakannya mengadu kepada guru
berkenaan mengenai perbuatannya mengejeknya, sehari sebelum itu.
“Ustaz berkenaan datang berjumpa anak saya dan tiga rakannya sebelum
merotan kesemua mereka. Bagaimanapun, hanya anak saya seorang dirotan
sehingga 10 kali, sementara yang lain dirotan sebanyak tiga dan empat
kali.
“Akibat tidak tahan, anak saya lari keluar dari kelas dan mendapatkan pertolongan rakan saya,” katanya.
Abd Rahim berkata, dia dihubungi isterinya, Memedalina Abu, 34, yang
berada di rumah kira-kira 12 tengah hari, selepas dimaklumkan kejadian
itu oleh lelaki terbabit.
“Saya pergi ke sekolah berkenaan untuk membawa pulang Amir Azamuddin.
Di dalam kereta anak saya menceritakan segalanya sebelum saya terus
membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira 3
petang,” katanya.
Menurutnya, ketika di IPD, guru berkenaan turut dipanggil polis untuk
memberi keterangan dan sempat meminta maaf atas perbuatannya, serta
mengakui bertindak mengikut emosi.
“Saya tidak kisah anak saya dirotan kerana kesalahannya, tapi hukuman sebegitu adalah keterlaluan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan
Abd Rahman Jid berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323
Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.