Tanggal 8 Mac lalu dianggap hari istimewa bagi golongan
wanita, iaitu sambutan Hari Wanita Sedunia ke-100. Ini sejajar dengan ajaran
Islam itu sendiri yang sekali gus mengangkat martabat dan darjat wanita. Islam
memberikan hak sewajarnya kepada golongan wanita di samping hak kaum lelaki
sebagai kaum pelindung.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “(Kerana telah tetap) orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada ALLAH akan limpah kurnianya. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. (Surah An-Nisa' : 32)
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “(Kerana telah tetap) orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada ALLAH akan limpah kurnianya. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. (Surah An-Nisa' : 32)
Dalam surah yang sama, ayat 7, ALLAH SWT membicarakan hak wanita dan lelaki iaitu: “Orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh ALLAH)”.
Kaum wanita khasnya golongan ibu diletakkan ‘syurga’ di bawah telapak kakinya. Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a. tatkala ditanya kepada Baginda, siapakah yang paling utama bagi seseorang untuk melakukan kebaikan kepadanya. Lalu dijawab Baginda SAW sebanyak tiga kali iaitu “ibu tercinta, ibu tercinta, ibu tercinta”. Kemudian sebutan kali keempat barulah kaum bapa.
Begitulah hebatnya ajaran Islam telah meletakkan martabat kaum wanita di tempat yang mulia. Jika disoroti sirah dan sejarah silam ketika zaman Jahiliyah, golongan wanita telah diperlakukan sehina dan sekejinya seperti penglibatan sebagai simbol seks, hamba yang hina-dina, dibunuhnya apabila lahir sahaja ke dunia, keluarga dikeji jika anak perempuan dilahirkan, sebagai barangan atau harta warisan.
“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (mengenai dia beroleh anak perempuan; sambil berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu”. (Surah Al-Nahl : 58-59)
Islam yang diturunkan Ilahi membawa seribu manfaat bagi kaum Hawa. Hal ini turut diakui seluruh sarjana Islam dan cendekiawan Barat. Dr Annie Besant dalam bukunya “The Life and Teaching of Muhammad” dengan katanya: “I often think that women are more free in Islam... Women are more respected by Islam than by the faith which preaches monogamy”.
Surah khas wanita
Pengisahan awal bagi kejadian wanita pertama adalah bermula dengan kesepian Nabi Adam a.s. dalam Syurga ketika terpandang sepasang burung sedang bergembira, lalu terdetik dalam hatinya untuk berteman. Seterusnya, diciptakan ALLAH SWT akan isterinya yang diberi nama Hawa daripada tulang rusuknya yang paling bengkok. Kemudian, perkahwinan mereka telah menghasilkan zuriat keturunan secara kembar berpasangan lelaki dan perempuan sehinggalah ke hari ini.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya (zuriat keturunan) lelaki dan perempuan yang ramai”. (Surah An-Nisa’: 1)
Kelebihan golongan wanita ini ditambah lagi dengan ALLAH SWT yang mengkhususkan satu surah khas bagi golongan wanita iaitu dikenali dengan Surah An-Nisa’. Melalui penciptaan lelaki dan perempuan ini pula, ALLAH SWT mencampakkan rasa mahabbah (kasih sayang dan cinta) demi mengikat tali silaturahim antara keduanya melalui ikatan perkahwinan. Seterusnya, mereka melayari mehnah kehidupan dunia ini secara bersama serta bercita-cita untuk pulang ke hari akhirat juga dengan pasangan yang sama, Insya-Allah.
Isunya adalah jika ditanya kepada seseorang individu, siapakah wanita atau pasangan yang ingin dijadikan teman hidup hingga ke mati? Tentu sekali jawab mereka secara spontan: “Pastilah seorang wanita yang baik (solehah) kerana mereka mampu mendidik anak nanti”.
Begitulah hebatnya seorang wanita. Menjadi lumrah dalam hidup ini iaitu perlu menjadikan wanita sebagai individu yang hebat di mata dunia dan akhirat kelak. Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Pilihlah zuriat kamu”, agar Muslim tidak memandang enteng perkara yang sepenting ini. Jelaslah, insan di dunia ini tiada yang paling disayangi dan ingin sentiasa bersamanya, ialah ibunda sendiri atau bagi suami pula ialah isteri masing-masing.
Doa Nabi Ibrahim
Menyoroti cerita ibunda tersayang golongan nabi dan rasul pilihan ALLAH bagi mengandung insan teristimewa. Ibunda Nabi Ismail a.s, Siti Hajar iaitu wanita berbangsa Arab Adnani yang unggul. Kisahnya dikhabarkan secara khusus dalam kitab Taurat dan al-Quran.
Pengorbanan Siti Hajar mempertahankan anaknya dan sanggup hidup sebatang kara menanggung keperitan di lembah padang pasir yang kering kontang patut dijadikan pengajaran. Siti Hajar segera berlari-lari dari Bukit Safa ke Bukit Marwah semata-mata mencari air untuk anaknya tercinta. Fenomena sirah ini sentiasa dihayati Muslim ketika menunaikan ibadat Saie dalam mengerjakan umrah atau haji.
Kini, Makkah al-Mukarramah yang dulunya terpencil, menjadi satu destinasi idaman bagi setiap daripada umat Islam untuk bercita-cita pada suatu hari nanti dapat menziarahinya demi menunaikan Rukun Islam yang kelima. Hal ini hakikatnya berkat doa mustajab daripada Nabi Ibrahim a.s. ketika Baginda meninggalkan Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail a.s. yang masih kecil di Makkah, sebagaimana disebut dalam Surah Ibrahim: ayat 37-38.
Kasih ibu
Kisah ibunda Nabi Musa a.s yang begitu rungsing memikirkan bagaimana hendak selamatkan anaknya dalam kandungan daripada kekejaman raja pemerintah pada masa itu iaitu Firaun. Sehinggakan tercatat dalam sirah bahawa ketika Nabi Musa a.s dilahirkan, sudah lebih 70 ribu anak yang tidak berdosa dibunuh dengan kejam pada zaman itu.
Hal ini disebabkan tafsiran mimpi ahli nujum negara yang mengatakan bahawa akan lahir seorang bayi terhebat yang akan merampas kuasa dan kedudukan politik kerajaan Firaun serta mengusirnya keluar dengan memperkenalkan agama yang baharu. menyembunyikan anaknya yang tersayang sehingga dikatakan pernah menyembunyikan Baginda a.s. di dalam kuali masakan.
Namun perancangan ALLAH Yang Maha Esa dan Yang Maha Agong mengilhamkan kepada ibu Nabi Musa a.s. sebagaimana tercatat dalam Surah Thoha, ayat 39 yang bermaksud: “Letakkanlah anak mu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuh-Ku dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan daripada kemurahan-Ku perasaan kasih sayang orang terhadap mu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasan-Ku”.
Hanyutlah Nabi Musa a.s. dalam peti kecil itu menyusuri sungai sehinggalah dijumpai seorang lagi wanita terhebat iaitu isteri Firaun, bernama Asiah. Anak kecil itu dipeliharanya dengan kasih sayang yang sebenarnya sehingga dewasa dan telah ditakdirkan menjadi anak angkat kepada Raja Firaun.
Peristiwa sirah Nabi Musa a.s boleh dijadikan teladan bahawa persekitaran yang kurang kondusif atau penuh dengan kebejatan sosial, bukan menjadi alasan untuk turut menjadi buruk seperti keadaan tersebut.
Teladanilah juga kisah hidup ibunda Rasulullah SAW, Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf yang tidak terkesan langsung walaupun hidupnya dalam era kejahilan akhlak dan keruntuhan moral yang teruk. Tuntasnya, kekuatan iman dan takwa dalam diri seseorang wanita yang dibina dengan paksi Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah yang teguh merupakan benteng terakhir untuk menjadikannya insan terbilang pada setiap zaman.
Ketahuilah, jika rosak santun golongan Hawa, maka hancurlah sesebuah tamadun bangsa. Perjuangkanlah isu wanita, belalah hak mereka, suburkanlah sifat al-Haya’ (malu) dalam diri wanita, indahkanlah akhlak diri, sentiasalah berdoa ke hadrat Ilahi agar dimasukkan ke dalam Syurga bagi mereka yang memuliakan wanita.
Diriwayatkan Abu Daud dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai dua adik-beradik perempuan atau dua anak perempuan, berikan mereka pendidikan yang luas, melayan dengan baik dan kahwinkanlah mereka, baginya adalah syurga.” Amin Ya Rabbal ‘Alamin.