Tiga termasuk seorang pelajar Tingkatan Empat,
maut dalam dua kemalangan di Pahang, Khamis. Dalam kejadian di KM 76.5 Jalan Besar Kuala
Terla, Cameron Highlands, seorang pelajar, A. Gurwinder Singh, 16, maut selepas
motosikal yang diboncengnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang
Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 11.39 pagi itu, pemandu
pacuan empat roda terbabit memperlahankan kenderaan apabila sebuah kereta di
hadapannya membuat pusingan 'U' secara mengejut.
"Motosikal yang dinaiki mangsa dari arah
Ringlet menuju ke Kuala Terla telah merempuh bahagian belakang pacuan empat
roda terbabit sebelum melanggar sebuah kereta lain dari arah
bertentangan," katanya di sini, Jumaat.
Beliau berkata mangsa mati di tempat kejadian
akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala penunggang motosikal yang
belum dikenal pasti identitinya cedera parah dan kini dirawat di Hospital
Cameron Highlands.
Sementara itu, dua lelaki warga Indonesia maut
apabila motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori treler dari arah
belakang di Km 115 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh, malam Khamis.
Dalam kejadian 9.35 malam itu, mangsa sedang
berhenti di tengah jalan untuk membelok ke simpang masuk Taman Setia Jasa.
"Sebuah lori treler dengan muatan besi dari
arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur telah terlanggar motosikal yang dinaiki
mangsa. Kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Junardi, 28, dan Hardi Awan, 30,
mati di tempat kejadian akibat cedera parah selepas terperosok di bawah treler
berkenaan," katanya.
Kedua-dua mayat mangsa yang bekerja sebagai
pekerja ladang kelapa sawit Felcra Berhala Gantang itu dibawa ke Hospital
Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat, katanya.