Guru Tadika Permata Islamiah selama ini tidak
menyedari nama mangsa bunuh dan bakar, NurulNadirah Abdullah, 5, bertulis menggunakan dakwat warna merah dalam buku
pendaftaran.
NorShaima Aldam, 25, berkata, keseluruhan 19 kanak-kanak sesi petang ditulis
dalam buku pendaftaran menggunakan pen berwarna biru, tetapi agak pelik nama
mangsa, yang mesra dengan panggilan Dirang
bertulis dengan dakwat merah.
Menurutnya, selepas mendapat perkhabaran kanak-kanak tadikanya hilang dan ditemui dibakar, dia membuat semakan untuk memastikan nama penuhnya dan terkejut kerana dalam banyak-banyak nama, hanya nama Dirang tertulis dengan dakwat merah.
“Selama ini kami tidak menyedari hanya nama Dirang ditulis menggunakan dakwat merah. Patutnya ditulis dengan dakwat biru seperti kanak-kanak lain.
“Ia seolah-olah menjadi petanda murid kesayangan kami itu akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya, semalam.
Seorang lagi guru, Mariam Sarian, 47, berkata, Dirang seorang murid yang periang dan pintar walaupun baru berusia lima tahun sehingga keletahnya lebih menyerlah daripada murid yang setahun lebih tua daripadanya.
Menurutnya, walaupun orangnya kecil molek, tetapi suaranya paling kuat setiap kali sesi berselawat kerana hobinya memang cenderung pada perkara begitu.
“Dirang ke sekolah bersama abangnya, Mohamad Hafis, tetapi Dirang lebih dikenali di tadika kerana abangnya pendiam,” katanya.