Arif Alfian Rosli, bekas pelajar Malaysia jurusan perubatan di
Ireland enggan mengulas berita yang dia telah melangsungkan perkahwinan
dengan seorang lelaki warga asing.
Arif Alfian yang dihubungi media Ireland, IrishTimes.com, menegaskan
bahawa dia masih lagi seorang penganut agama Islam, tidak memeluk
mana-mana agama lain dan kekal sebagai seorang muslim sehingga ke akhir
hanyatnya.
“Saya tidak memeluk agama lain, apa yang dilaporkan sangat
bertentangan dengan hakikat sebenar. Saya dilahirkan sebagai Muslim,
saya masih seorang Muslim dan akan kekal Muslim sehingga saya meninggal
dunia. Tiada apa yang mampu menggoncang keimanan saya,” katanya kepada
media tersebut hari ini.
Arif Alfian juga menjelaskan bahawa dia sudah beberapa tahun tidak
menghubungi ibubapanya di Malaysia ekoran satu perselisihan faham antara
mereka, namun mengaku kerap menghubungi adik beradiknya yang lain.
“Saya ada sedikit salah faham dengan ayah saya pada tahun
2009…sehingga saya dilaporkan hilang, saya masih tidak berhubung
dengannya, tapi saya sering berhubung dengan anggota keluarga yang
lain,” katanya lagi.
Bapa Arif Alfian, Rosli Harun, 56, baru-baru ini memohon pertolongan
dari akhbar Utusan Malaysia untuk mencari anaknya yang dikatakan
‘hilang’ setelah pencariannya menemui jalan buntu.
Memburukkan lagi keadaan, anaknya juga dikatakan telah berkahwin
dengan seorang lelaki warga asing dan beberapa keping gambar serta video
perkahwinan songsang itu turut tersebar di internet, termasuk salah
satunya di lama web bigayweddingproject.com.
Majlis perkahwinan sejenis itu dipercayai berlangsung dalam sebuah
gereja di luar negara dan Arif Alfian digambarkan memakai baju Melayu
berwarna hitam, lengkap bersamping serta tanjak berwarna emas. Pasangannya yang dianggarkan berusia lewat 30-an pula mengenakan
busana sut lengkap warna hitam yang biasanya dipakai ketika majlis
perkahwinan masyarakat Barat.
Arif Alfian ketika dihubungi media Ireland turut menafikan dakwaan
dirinya ‘hilang’ dan menegaskan dia kini telah bermigrasi di Ireland
secara sah.
“Saya tak hilang. Pihak berkuasa Ireland tahu saya tinggal secara sah
di negara ini (Ireland). Kedutaan Malaysia juga tahu dan sedar mengenai
saya yang tinggal secara sah di sini,” katanya lagi.
Selain itu, Arif Alfian juga menjelaskan bahawa dia secara tidak
sengaja menarik perhatian masyarakat umum dan tidak mahu mencetus
kontroversi atau masalah, khususnya terhadap keluarganya di Malaysia.
Sumber: MyNewsHub