Betol-betol Hangat! PUO naib johan hoki lelaki!

Oleh Kaki Wayang on


BARISAN pemain pasukan hoki lelaki Politeknik Ungku Omar ceria bersama medal kemenangan selaku naib juara Kejohanan Sukan Perak VI baru-baru ini. 
 

PASUKAN hoki Politeknik Ungku Omar (PUO) mencipta sejarah tersendiri apabila muncul naib johan dalam acara hoki lelaki pada Kejohanan Sukan Perak (Super) VI yang diadakan di Manjung, Perak baru-baru ini.

Dalam perlawanan akhir tersebut, PUO terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Kinta dengan agregat 6-1. Bagaimanapun, kejayaan menduduki tempat kedua pada kejohanan tersebut merupakan antara pencapaian terbaik politeknik berkenaan.

Kejohanan pada 16 hingga 19 Mac lalu yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Perak merupakan medan pemilihan atlet mewakili negeri Perak ke Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang.

Sebanyak 10 daerah di negeri Perak mengambil bahagian dengan PUO, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sri Iskandar turut menyertainya sebagai pasukan jemputan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pengurus pasukan PUO, Muhammad Arieef Hussain memberitahu kejayaan itu merupakan pencapaian terbaik PUO dalam Super sejak menyertainya pada kali pertama pada tahun 2007. Ketika itu mereka menduduki tempat ketiga sahaja.

Ujarnya pencapaian membanggakan itu hasil daripada momentum pasukan setelah menduduki tempat ketiga dalam kejohanan hoki Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP) tahun lalu.

“Ternyata pasukan yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Saiful Adzuan Ismail ini telah menunjukkan kematangannya hasil daripada latihan dan pendedahan melalui penyertaan pelbagai kejohanan dalam negara di samping perlawanan persahabatan yang kompetetif dan berterusan sepanjang tahun.

“Komitmen yang padu serta penerapan disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain membuahkan hasil yang amat membanggakan,” kata Muhammad Arieef yang merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Tambahnya, kejayaan itu juga adalah hasil daripada komitmen pihak pengurusan PUO sendiri demi meneruskan budaya kecemerlangan sukan yang telah menjadi tradisi bagi politeknik tersebut. Antara sukan lain yang turut menempa kejayaan ialah pasukan bola jaring dan sepak takraw yang memperoleh tempat ketiga pada kejohanan yang sama.

Ini menunjukkan bahawa politeknik terutama PUO yang berstatus sebagai Politeknik Premier bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik malah, dalam bidang sukan juga.
 

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...