Polis dalam siasatan awal mereka tidak menolak kemungkinan dendam
peribadi terhadap keluarga Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang menjadi
punca kanak-kanak kecil yang tidak berdosa itu dibunuh dan dibakar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin
dalam kenyataan yang dikeluarkan pukul 6 petang ini berkata, siasatan
sedang dilakukan dari semua sudut untuk memastikan motif di sebalik
penculikan dan pembunuhan kanak-kanak itu dapat dikenalpasti.
“Kami tidak menolak kemungkinan bahawa dendam peribadi terhadap
keluarga tersebut menjadi motif di sebalik penculikan dan pembunuhan
ini,” katanya di sini hari ini. Dirang dilaporkan hilang ketika keluar
membeli mi segera dan telur kira-kira pukul 11 pagi, di kedai runcit di
kawasan rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam pada 1 Mac lalu.
Mayat Dirang (disahkan melalui ujian DNA) ditemui pada 8 Mac lalu di
sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, dekat Seri Alam, Johor. Setakat ini, empat suspek telah ditahan polis Johor.
Tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga
40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice
manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi
kesalahan dadah dan curi.
“Bantuan segera daripada masyarakat telah membolehkan pihak polis
menangkap tiga orang suspek beberapa jam selepas laporan kehilangan Nur
Nadirah dibuat.
“Suspek keempat juga telah ditahan beberapa hari kemudian. Dengan
empat penangkapan ini, kami percaya bahawa polis berada di landasan yang
betul untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.
Beliau menambah, Nur Alert telah diaktifkan sebaik pihaknya menerima
laporan daripada nenek Dirang dan pihak pertubuhan bukan kerajaan dan
Bank RHB telah bersama membantu polis mengesan Allahyarham Dirang.
Dalam kenyataan yang sama, beliau juga merakamkan rasa simpati yang
tidak terhingga dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kepada keluarga
Allahyarham di atas pemergiannya.